27 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang berlangsung selama 30 minit di Istana Presiden di Abu Dhabi.
Ini merupakan pertemuan kali pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE yang baharu pada 14 Mei.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan bilateral selama 40 tahun selain daripada bidang kerjasama yang baharu seperti sekuriti makanan, digitalisasi dalam pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui.
Ismail Sabri tiba di ibu negara UAE pagi tadi untuk lawatan kerja empat hari, lawatan kedua sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada Ogos 2021.
Hari ini, Perdana Menteri dijadualkan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Ranhill Utilities dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC – MASDAR.
Pada 2021, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Bagi tahun 2021, nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (US$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (US$4.93 bilion) pada 2020. –