27 SEPT :Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat jenazah ghaib kepada ulama tersohor, Al-Imam Al-‘Allamah Asy-Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradawi Rahimahullah, secara serentak di tiga buah masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sejurus selepas Solat Isyak pada malam ini 27 September 2022.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menerusi satu kenyataan berkata, JAKIM juga turut menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan solat jenazah ghaib buat almarhum.
“Sesungguhnya pemergian almarhum merupakan suatu kehilangan yang amat besar buat dunia. Jasa almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia.
“Sebagai tanda penghormatan buat almarhum, JAKIM akan mengadakan Solat Jenazah Ghaib serentak di tiga buah masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sejurus selepas Solat Isyak pada malam ini,” katanya dalam kenyataan itu.
JAKIM turut menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Al-Imam Al-‘Allamah Asy-Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradawi Rahimahullah, Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) semalam.
Kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Allahyarham Dr Syeikh Yusuf Al Qaradawi sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1431H bersamaan tahun 2009M.