27 SEPT : Seluruh Pimpinan dan Ahli PAS dipinta supaya akur serta memberikan wala’ kepada arahan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Hashim Jasin, agar semua pihak yang inginkan perpaduan dan kestabilan negara tercinta ini menghayati dan merealisasikan agenda penyatuan ummah.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sentiasa komited untuk melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.
“Pendirian PAS ini berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang bermaksud, “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat”.
“Sehubungan dengan itu PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.
“Kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam Kerajaan yang dipimpin bersama,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan pimpinan PAS ini susulan daripada kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) merupakan musuh utama PN yang perlu ditentang pada pilihan raya umum ke 15 akan datang.
Tegas Takiyuddin lagi, PAS sentiasa yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti utama Melayu-Islam dalam negara ini sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya.