28 SEPT : Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat depan, perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baharu di Parlimen sekiranya belum diluluskan, jika pilihanraya umum ke 15 (PRU-15) diadakan dalam masa yang terdekat.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjelaskan, kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU perlu membentangkan semula RUU berkenaan bagi bacaan kali pertama dan seterusnya.
“Kalau ada pilihan raya, akan ada satu kerajaan yang baru. Maka kerajaan baru perlu buat bacaan pertama semula. Sebab belanjawan tidak mengikat kerajaan. Dia akan ada bacaan pertama yang baru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media dalam majlisRamah Mesra Media Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Kerajaan baharu yang terbentuk selepas PRU15 kata beliau, boleh menggunakan draf RUU sama untuk dibentangkan semula ke Dewan Rakyat.
Bajet 2023 dijadual dibentang pada Jumaat depan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika spekulasi juga mengatakan Parlimen akan dibubar selepas itu, iaitu sebelum RUU berkenaan diluluskan.