29 SEPT : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang Datuk Bandar bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
Lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan dalam usaha agensi itu melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan, menurut sumber yang mengesahkan tangkapan itu.
“Beliau ditahan semalam. Selepas keterangannya diambil, beliau dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin. Datuk Bandar itu dibebaskan sementara siasatan lanjut dijalankan SPRM,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan tiga kakitangan sebuah majlis bandaraya di negeri itu ditahan SPRM, dalam siasatan mereka terhadap penyelewengan tender projek tebatan banjir.
Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga pegawai Gred G44, G29 dan J29 daripada jabatan landskap dan perbekalan bandaraya terbabit.
Tangkapan Datuk Bandar itu, menjadikan setakat ini seramai lapan pegawai PBT di Selangor dan seorang kontraktor ditahan SPRM.
Difahamkan, kartel itu turut membabitkan pengurusan tertinggi PBT berkenaan yang mempunyai kuasa untuk menyerahkan tender secara runding terus kepada syarikat tertentu.
Kesan kehadiran kartel terbabit, menyebabkan hanya pihak tertentu yang dipercayai rapat dengan mereka, dilantik sebagai kontraktor pelaksana, sekali gus mengakibatkan ada projek yang diberikan itu tidak dilaksanakan seperti dikehendaki.
Selain itu, SPRM mengesan kira-kira 68 syarikat kontraktor berada dalam senarai yang disediakan oleh jurutera yang ditahan untuk ditawarkan tender projek PBT.