29 SEPT : PAS akan tetap berusaha melaksanakan agenda untuk mendamaikan BERSATU dan UMNO atas dasar penyatuan ummah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat mahu lihat perkara ini (penyatuan ummah) dan PAS akan terus memainkan peranan berusaha mendamaikan kedua-dua pihak bagi penyatuan ummah.
“InsyaAllah usaha akan berhasil. Kita perlukan kestabilan politik. Ia hanya boleh dicapai apabila ada elemen muafakat politik,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas pelaksanaan projek kolam takungan dwifungsi Sungai Klang-Rasau dan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (LRAL2F2), ketika mengulas usaha PAS untuk memulihkan hubungan BERSATU dan UMNO.
Kelmarin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata pembentukan agenda penyatuan ummah antara Bersatu, Pas dan UMNO tidak mungkin dapat direalisasikan kerana penolakan kerjasama oleh UMNO terhadap Bersatu.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, kedua-dua pihak masih mempunyai masa untuk mengadakan perbincangan demi mencapai muafakat politik demi masa depan politik yang lebih baik dalam konteks muafakat politik,” katanya.
Ditanya mengenai pendirian Pas dalam memilih rakan kerjasamanya bagi PRU15, Tuan Ibrahim berkata parti itu tidak seharusnya diberi kata dua kerana PAS berpendirian perlunya wujud penyatuan ummah antara semua parti politik yang mewakili kaum Melayu.
Media sebelum ini melaporkan Pas akan memuktamadkan hala tuju kerjasama politik parti itu dalam masa terdekat