29 SEPT : Taufan Ian membadai pantai barat daya Florida dengan ribut kategori empat, semalam, mengakibatkan banjir ketika petugas giat bersiap siaga untuk melaksanakan tindak balas kecemasan besar-besaran.
Menurut Pusat Taufan Nasional (NHC), taufan disifatkan sebagai ‘amat berbahaya’ itu mula melanda Pulau Cayo Costa yang terletak di barat bandar Fort Myers, kira-kira jam 3 petang.
NHC memaklumkan, Taufan Ian membawa angin kencang berkelajuan maksimum 240 kilometer sejam ketika ‘membadai semenanjung Florida yang menyebabkan malapetaka.’
Gabenor Florida, Ron DeSantis, berkata lebih 1.1 juta penduduk dilaporkan mengalami bekalan elektrik terputus di negeri itu dan angka berkenaan dijangka meningkat. Di tiga daerah yang terawal dilanda taufan itu, hampir keseluruhan bekalan elektrik terputus.
Taufan berkenaan diramal menjejaskan beberapa juta penduduk di seluruh Florida, selain negeri Georgia dan Carolina Selatan di mana agensi peramal cuaca memberi amaran ia boleh mencetuskan malapetaka yang berlaku sekali dalam satu generasi.
“Ia akan menjadi peristiwa bersejarah yang kita ingat selama bertahun-tahun,” kata Pengarah Perkhidmatan Cuaca Nasional, Ken Graham.
Sebahagian kawasan kejiranan di Fort Myers yang mempunyai lebih 80,000 penduduk, dinaiki air sehingga kelihatan seperti tasik.
Di Punta Gorda yang terletak di utara Fort Myers, keadaan jalan raya lengang dengan pokok tumbang akibat angin kencang yang turut menjejaskan tiang elektrik.
Kira-kira 2.5 juta penduduk di lebih 10 daerah pesisir Florida diarahkan wajib berpindah segera atas faktor keselamatan serta puluhan pusat perlindungan sementara didirikan, manakala yang lain pula digalakkan untuk berpindah secara sukarela.
Lapangan terbang di Tampa dan Orlando menghentikan semua penerbangan komersial, selain syarikat kapal persiaran turut menangguh atau membatalkan pelayaran.
Pihak berkuasa memberi amaran kecemasan, taufan itu dijangka membawa hujan sangat lebat di sebahagian kawasan, dan mengakibatkan ombak besar mencecah paras 3.6 hingga 5.5 meter.
Taufan itu diramal bergerak merentasi tengah Florida sebelum ke Lautan Atlantik menjelang lewat hari ini.
Pada masa sama, Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, kira-kira 20 migran dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam.
Dalam tragedi itu, empat warga Cuba berjaya berenang ke pantai kepulauan Florida Keys, manakala tiga mangsa lagi diselamatkan dari laut oleh pasukan pengawal pantai.
Sementara itu, di bandar pesisir Naples, banjir telah menenggelami kediaman berhampiran pantai dan jalan raya, selain arus kuatnya turut menghanyutkan kenderaan.
Sehari sebelum itu, Taufan Ian membadai Cuba sehingga menyebabkan seluruh negara itu terpaksa bergelap apabila bekalan elektrik terputus sepenuhnya. Media negara itu turut melaporkan sekurang-kurang dua individu maut di wilayah Pinar del Rio.