30 SEPT : Seramai 19 orang terkorban ketika pelajar sedang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan pada pagi ini dalam satu serangan berani mati di pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan.
Menurut maklumat pihak polis, letupan berlaku di kawasan kediaman di Dasht-e-Barchi di barat Kabul yang ramai penduduknya ialah umat Islam Syiah, iaitu penempatan bagi komuniti minoriti Hazara.
Jurucakap polis, Khalid Zadran, berkata seramai 27 lagi mangsa turut cedera akibat serangan letupan itu.
“Pelajar sedang bersiap sedia untuk peperiksaan ketika pengebom berani mati melancarkan serangan di pusat pendidikan ini. Malangnya, 19 orang syahid dan 27 yang lain cedera,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Nafy Takor, berkata punca kejadian dan identiti mangsa masih dalam siasatan.
“Menyerang orang awam membuktikan tindakan kejam musuh yang tidak berperikemanusiaan dan bermoral,” katanya.