30 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa berkaitan kemungkinan salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan antaranya di bawah Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, tulisan bekas Peguam Negara itu telah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.
“Laporan tersebut telah disediakan oleh pasukan ini dalam tempoh sembilan bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022, dengan memperincikan setiap dakwaan-dakwaan yang disebut oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya itu.
“Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam Buku tersebut kepada empat isu utama iaitu Dakwaan ke atas Badan Kehakiman, Pendedahan maklumat dan rahsia Kerajaan, Tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional dan (Kenyataan berbaur hasutan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Ismail Sabri, Pasukan Petugas Khas seterusnya juga telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan Kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil ketika membentangkan laporan tersebut.