1 OKT : Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 20 lagi cedera dalam pertempuran yang meletus di bandar Zahedan di tenggara wilayah Sistan-Baluchestan, Iran pada Jumaat selepas sekumpulan penunjuk perasaan bersenjata menyerbu sebuah balai polis.
Kejadian berlaku selepas solat Jumaat di luar balai polis di Jalan Razi di barat Zahedan, beberapa blok dari Masjid Makki, lapor Agensi Anadolu memetik Gabenor Wilayah, Hossein Modarriskhiyabani.
Beliau menyifatkan penyerang sebagai ‘kumpulan pengganas dan pemisah’, yang berniat untuk ‘menawan’ balai polis itu.
Video yang tular di media sosial menunjukkan keadaan ngeri ketika orang yang cedera dibawa keluar di tengah-tengah kepulan asap dan bunyi tembakan kedengaran.
Media kerajaan melaporkan bahawa “sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali” melepaskan tembakan ke arah balai polis, mencetuskan pertempuran. Beberapa laporan lain mengatakan penyerang tidak bersenjata tetapi bertindak melontar batu.
Kemudian, penunjuk perasaan yang berang mula membakar beberapa bank dan kereta polis di seluruh bandar, menurut saksi.
Akhir-akhir ini ketegangan semakin memuncak di wilayah majoriti Sunni yang bersempadan dengan Pakistan susulan kematian seorang wanita, Mahsa Amini, semasa dalam tahanan polis.