1 OKT : Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Xavier Jayakumar disahkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin, mengesahkan perkara tersebut selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pertama PBM di ibu negara, hari ini.
Penambahan dua Ahli Parlimen itu memperlihatkan PBM kini mempunyai enam Ahli Parlimen termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Steven Choong (Tebrau), Larry Sng (Julau) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).
Lima daripada mereka memenangi kerusi di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum lalu pada 2018 manakala Mohamaddin bertanding di bawah Parti Warisan (Warisan).
Zuraida dan Edmund Santhara meninggalkan PKR semasa ‘Langkah Sheraton’ untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020.
Steven dan Sng pula sebelum ini mengumumkan keluar PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Perikatan Nasional (PN).
Mohamaddin pula keluar dari Warisan tahun lepas dan mengumumkan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum memutuskan untuk bersama PBM