Laporan siasatan buku Tommy Thomas akan didedah kepada umum
1 OKT : Hasil laporan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas akan didedahkan kepada umum, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Insya-Allah kita akan dedahkan,” katanya ringkas ketika menjawab soalan media ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada laporan siasatan itu akan didedahkan kepada umum, susulan desakan beberapa pihak mahu perkara itu dilakukan.
Ismail Sabri dalam kenyataannya semalam mengarahkan siasatan segera dilaksana terhadap kemungkinan salah laku oleh Tommy.
Beliau berkata pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, sudah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.