1 OKT : Ukraine hari ini mendakwa 20 orang awam terbunuh selepas Russia mengebom konvoi orang awam.
Tragedi itu didakwa berlaku dalam ‘zon kelabu’ di antara wilayah dikuasai Russia dan pihak Ukraine di timur Ukraine, hujung bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, Tentera Ukraine, berkata tujuh kenderaan terkena tembakan ketika melalui Svatove yang dikuasai Russia di Luhansk dan kawasan di bawah kawalan Ukraine, Kupiansk, wilayah Kharkiv, yang ditawan semula bulan lalu.
Pegawai Russia di timur Ukraine kelmarin menuduh Kyiv mengebom konvoi pelarian yang sedang dibawa keluar dari wilayah Kharkiv, menyebabkan 30 mangsa orang awam terbunuh, lapor media Russia.
Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua pihak merujuk kepada konvoi yang sama.