3 OKT : Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sesi ini hanya dengan kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya sambil menegaskan setiap ahli Parlimen tidak perlu mendapatkan kebenarannya untuk hadir ke persidangan atau sebaliknya.
“Persoalannya sekarang adakah beliau boleh hadir? Itu bukan dibawah bidang kuasa saya kerana he is not in my custody, who has his custody adalah penjara.
“Maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan tersebut.
“Itu bukan kuasa saya,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen PH Sepang, Hanipa Maidin bangun mempertikaikan ketidakhadiran Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
“Oleh kerana dia (Najib) masih Ahli Parlimen, saya cadangkan kita benarkan dia hadir ke Parlimen.
“Tapi saya letak syarat dia mesti bergari, tetapi dia boleh pakai baju macam kita semua. Kami nak tengok macam mana Ahli Parlimen bergari datang Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata setahu beliau ia adalah bergantung kepada pihak Jabatan Penjara untuk memberikan pelepasan tersebut.
“Fahaman saya kalau pihak penjara melepaskan beliau dari penjagaan maka penjara yang akan berikan syarat pelepasan tersebut,” kata Speaker itu lagi.
Seorang lagi Ahli Parlimen PH Shah Alam Khalid Samad turut mencelah bertanyakan bila status Najib sebagai Ahli Parlimen akan terlucut.
“Akan hilang kelayakan apabila permohonan pengampunan beliau ditolak,” katanya.
Azhar Azizan sebelum ini berkata, status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal berikutan petisyen pengampunan telah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung kes penyelewengan dana SRC International.