3 OKT: Kerajaan mengakui isu kemasukan pekerja asing ke negara ini masih berlarutan sejak enam bulan lalu hingga menyebabkan industri terlibat mengalami kerugian berpuluh bilion ringgit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Kabinet memutuskan untuk segera mencari punca masalah yang menghalang kemasukan kira-kira 350,000 lagi baki pekerja asing seperti dijadualkan.
“Betul memang banyak isu pelaksanaan yang perlu ditangani oleh kerajaan. Atas kertas umpamanya setakat ini kira-kira 450,000 pekerja asing sudah diluluskan untuk masuk Malaysia tapi yang masuk hanya 100,000 orang.
“Jadi petang ini Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan) akan berjumpa dengan pihak-pihak berkepentingan untuk memperincikan apa masalah sebenarnya. Masalah di Bangladesh, imigresen atau masalah sumber manusia.
“Untuk makluman, setiap minggu di Kabinet isu ini dibincangkan, sudah 5 hingga 6 bulan sampai jemu kami semua (menteri).
“Jadi kami dah buat keputusan tak mahu dengar lagi hal ini, sebab itu petang ini Menteri Sumber Manusia akan berjumpa pihak-pihak berkepentingan.
“Saya yakin beliau akan dapat menangani sebahagian besar masalah tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tajuddin membangkitkan soal kerugian yang dialami negara melibatkan angka berpuluh bilion susulan kelemahan dari sudut pelaksanaan kerajaan.
“Saya nak tarik perhatian menteri. Kita banyak alami kerugian ekonomi disebabkan kelemahan dari segi pelaksanaan kita berkait beberapa aspek ekonomi.
“Contohnya perladangan kita rugi hampir RM20 bilion setahun, Felcra rugi RM3 bilion sebulan. Apa ini? Ini pendapatan kepada negara dan rakyat. Kenapa ini berlaku?
“Pengeluaran elektrik dan elektronik tidak dapat memenuhi permintaan daripada luar bernilai berpuluh bilion. Sekiranya dapat dipenuhi maka beratus bilion kerajaan dan negara boleh diperolehi. Wang ini boleh membantu rakyat dalam banyak bentuk, subsidi atau buat projek. Kita rugi beratus bilion,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata kerajaan memandang serius perkara itu dan mengulang pengharapannya perkara itu dapat diselesaikan oleh kementerian dengan pihak terlibat.
“Betul kelapa sawit industri yang terbesar, Felda, Felcra, FGV anggaran (kerugian) 20 bilion setahun satu angka yang amat besar, jadi kerajaan memandang serius perkara ini.
“Kita menaruh keyakinan kepada Menteri Sumber Manusia, Menteri Dalam Negeri dan pihak-pihak berkenaan termasuk Jabatan Tenaga Kerja Imigresen akan menangani perkara ini supaya kita tak perlu lagi setiap minggu bincang hal ini dalam Kabinet,” ujarnya.- Oleh NUR EISYA