3 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu Dewan Rakyat hari ini prestasi Ringgit Malaysia tidak seteruk beberapa mata wang lain termasuk yen Jepun dan pound sterling.
Katanya penurunan mata wang Malaysia kira-kira 10% sahaja berbanding Jepun dan British masing-masing 20%.
“Kita sedia maklum nilai mata wang ini ditentukan oleh pasaran negara-negara yang menetapkan kadar tertentu jadi turun naik itu biasa.
“Yang penting perlu kita tekankan bahawa ini berikutan daripada dasar monetari agresif oleh bank pusat Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kenaikan 3% kadar faedah di AS dan mengakibatkan penurunan beberapa mata wang termasuklah Yen Jepun 20%, Pound Sterling 20%.
“Ringgit pula kira-kira 10% jadi prestasi ringgit tidaklah seteruk beberapa mata wang itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamed pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.
Dr Mahathir membangkitkan soal kesan kejatuhan nilai mata wang sejak Bajet 2022 diluluskan berkait hutang negara yang perlu dibayar dalam dolar AS.
“Sejak bajet 2022 dilulus oleh dewan ini, nilai mata wang sudah jatuh dengan teruk. Apakah kesannya terhadap bajet terutama tentang apa yang perlu dibayar oleh kerajaan dalam dolar AS. Adakah ini menyebabkan defisit akan bertambah dalam bajet yang diperkenalkan?,” soalnya.
Dalam pada itu, Mustapa menjelaskan kesan kejatuhan mata wang terhadap bayaran balik hutang langsung kerajaan dalam mata wang dolar AS amat kecil.
“Kesan kepada bayaran kerajaan, hutang langsung kerajaan pusat tak sampai 5% pun dalam Dolar AS. Kebanyakan hutang kerajaan pusat adalah dalam Ringgit Malaysia. Jadi hutang langsung kerajaan pusat, kesannya kecil sekali.
“Yang lain-lainnya mungkin swasta, sesetengahnya ada hutang luar negara. Tapi mengikut pandangan BNM kedudukan kecairan bank-bank kita adalah baik. Liputan rizab kita sekarang ini kira-kira AS106 bilion,” katanya.- Oleh NUR EISYA