Jaminan keselamatan makanan, tenaga hadapi cabaran ekonomi global
4 OKT : Menjamin keselamatan makanan dan tenaga serta persediaan menghadapi perubahan iklim dengan menumpukan kepada peralihan yang adil dan saksama serta pembinaan kapasiti adalah antara strategi penting yang perlu diambil oleh Malaysia untuk mengharungi pergolakan dalam ekonomi global.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata negara perlu melindungi keselamatan makanan dan tenaganya daripada peningkatan pengeluaran dan kemeruapan harga di tengah-tengah konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan, usaha menghapuskan kesalingbergantungan antara negara dan perubahan iklim.
“Kita perlu mempunyai perancangan yang baik dan kita perlu melakukannya dengan pantas. Memandangkan peningkatan ketegangan geopolitik global, kita perlu menimbang dengan serius untuk melabur membina rantaian bekalan seluruh ASEAN yang lebih kukuh terutamanya bagi keselamatan makanan dan tenaga,” katanya pada ucapan penutup Forum Khazanah Megatrends 2022, di sini, hari ini.
Beliau berkata indeks harga pengguna Malaysia meningkat kepada 4.7 peratus pada Ogos 2022 atau 3.1 peratus setakat tahun ini, disebabkan terutamanya kenaikan harga dalam komponen diimport yang yang membekalkan kepada industri pertanian dan makanan, seperti baja dan makanan haiwan.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata inflasi Malaysia masih terkawal meskipun berdepan tekanan tolakan kos global hasil daripada kapasiti tambahan dalam ekonomi, kawalan harga sedia ada dan subsidi kerajaan yang berjumlah hampir RM80 bilion bagi 2022.
Justeru beliau menggesa syarikat Malaysia untuk lebih bersiap sedia dan melabur bagi membina rantaian bekalan ASEAN yang lebih kukuh dalam industri kritikal.
Memandangkan tahap pembangunan yang berbeza dalam setiap ekonomi, pelabur agak memilih di mana mereka mahu melabur dan bersikap oportunis dalam mengambil keputusan perniagaan mereka, katanya.
“Jika penggubal dasar ASEAN boleh menyelaras dan saling bekerjasama dengan rapat, kita boleh mengenal pasti industri kritikal yang kita boleh tingkatkan dan perkukuhkan untuk menjadi bahagian kritikal dalam rantaian bekalan global
“Ia akan memberi manfaat bukan hanya kepada ekonomi individu, tetapi juga berfungsi sebagai strategi mitigasi dalam menghadapi bencana seperti pandemik dan ketegangan geopolitik yang berlaku di bahagian lain di dunia,” katanya.
Sementara itu Tengku Zafrul turut mencadangkan setiap pihak untuk mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan bukan hanya sekadar menjadi cara untuk memperkayakan lagi golongan kaya dan memiskinkan lagi golongan miskin.
Dalam usaha untuk mencapai status negara karbon neutral menjelang 2050, terdapat risiko gangguan yang serius kepada pasaran buruh, prasarana dan landskap geografi dan justeru itu, sebarang hasil negatif daripada peralihan itu perlu diminimumkan.
“Pertimbangan ESG akan menjadi tunjang utama bagi keputusan perniagaan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat korporat lain pada masa depan.
“Bagi Malaysia, mencapai keseimbangan optimum antara memajukan peralihan hijau dan mencatatkan pertumbuhan dalam jangka terdekat, juga suatu yang kritikal,” katanya.
Beliau berkata akan ada pelbagai langkah berkaitan ESG dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini untuk menyokong usaha syarikat korporat Malaysia bagi menjadikan ekosistem perniagaan bukan sahaja berdaya maju dan berdaya tahan tetapi juga adil dan saksma. – BERNAMA