4 OKT : Kes penculikan kanak-kanak yang tular di media sosial kebelakangan ini sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, kes penculikan yang tular termasuk dikatakan turut berlaku di beberapa negeri itu tegas beliau, adalah palsu dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan tertentu.
“Siasatan polis mendapati tiada laporan berhubung penculikan kanak-kanak berlaku sebagaimana yang tular dan dakwaan itu tidak berasas.
“Setakat ini, hanya satu kes berlaku di Genting Highlands dan kes itu sudah diambil tindakan dan sedang dibicarakan di mahkamah,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, berikutan penyebaran maklumat kes penculikan itu juga, kesedaran ibu bapa dan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak meningkat.
Namun begitu, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih berhubung kejadian penculikan kanak-kanak di negara ini kerana ia hanya mence]tuskan kebimbangan rakyat.
“Justeru kita menyeru semua rakyat Malaysia terutamanya ibu bapa menjaga keselamatan anak-anak, memang sangat digalakkan bahkan ia sangat dialukan untuk menunjukkan tahap keprihatinan masyarakat khususnya ibu bapa.
“Namun, dalam kita meningkatkan keprihatinan, kesiapsiagaan kita jangan sampai pula kita terbabit dalam menyebar luaskan berita yang tidak benar yang boleh mendatangkan kegusaran kepada rakyat,” tegas Acryl Sani.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban, di sini, pada Selasa
Kebelakangan ini, orang ramai digemparkan dengan insiden penculikan termasuk tular penculikan kanak-kanak dan penjualan organ manusia yang tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan rakyat.