4 OKT : Perikatan Nasional (PN) berpendirian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan pada tahun ini, tegas Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri pantai timur.
“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir, di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.
“Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan. Penyelesaian permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya kerajaan menerusi Belanjawan 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya lagi, mengadakan pilihan raya semasa musim banjir, tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.
Justeru itu menurut Muhyiddin, anggota Jemaah Menteri dari PN, diminta untuk menegaskan pendirian itu di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, malah semua Ahli Parlimen PN juga diseru mengambil pendirian sama.
Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyatakan pendirian parti itu bahawa tidak wajar dan tidak perlu disegerakan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.