5 OKT : Negeri Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan yang berada di bawah kekuasaan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Bangunan Parlimen, selepas khabar angin bertiup kencang bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Menurut Anwar,keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Anwar berkata, Majlis Presiden PH menerima pendirian tiga negeri terbabit agar pembubaran DUN masing-masing hanya akan dilakukan pada tahun hadapan dengan mengambil kira faktor banjir besar yang akan memberi kesusahan kepada rakyat,
“Majlis Presiden mengambil maklum laporan Jabatan Metereologi yang berkata bahawa fenomena La Nina dan monsun Timur Laut hingga ke awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri.
“Majlis Presiden turut mengambil maklum bahawa Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutama nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.
“Oleh itu, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri-Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa Dewan-Dewan Undangan bagi negeri-negeri tersebut akan dibubarkan pada tahun 2023, pada satu tarikh yang akan diumum kelak,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Majlis Presiden PH secara amnya bersetuju tentang pemakaian logo baharu gabungan parti berkenaan.
Namun, jelasnya lagi, jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, maka berkemungkinan besar PH akan tetap menggunakan logo sedia ada, mengambil kira faktor logistik dan penerangan yang perlu dilakukan dalam masa yang singkat.