5 OKT : Hanya masa akan menentukan sama ada kerjasama membabitkan UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya atau tidak, demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurutnya, apa juga keputusan yang akan dibuat mengenai kerjasama itu bagi menghadapi PRU15 adalah bermatlamatkan demi kebaikan bersama.
UMNO kini kata Mahdzir, memiliki dua pilihan untuk memasuki medan pentempuran bagi pilihan raya umum akan datang iaitu bergerak secara solo ataupun menerusi permuafakatan bersama Pas dalam MN.
“Masa akan menentukan (kerjasama UMNO dan PAS), sama ada segera ataupun ada lama sikit tempohnya, kalau dua tiga hari ini akan berlaku, lima hari lagi atau seminggu lagi, apa-apa pun, masa-masa inilah yang saya maksudkan sama ada kerjasama itu akan berlaku atau tidak,” kata beliau.
Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) peringkat Parlimen Padang Terap di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa sebarang keputusan yang akan dibuat kepimpinan UMNO adalah berdasarkan justifikasi keadaan semasa yang berlaku pada waktu kejadian.
Pada Ahad, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu menetapkan tiga syarat utama mesti dipenuhi Pas, sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU15.
Menurutnya, tiga syarat utama ditetapkan kepada Pas itu ialah keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.