5 OKT: PAS tidak sesekali akan berundur untuk menjayakan agenda penyatuan ummah bersama UMNO yang sedang diusahakan parti itu, namun PAS mempunyai pelan kedua sekiranya usaha itu tidak berjaya, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, PAS mengalu-alukan kesediaan UMNO ke arah penyatuan ummah namun syarat yang diberikan UMNO perlu diteliti terlebih dulu oleh kepimpinan tertinggi PAS.
“Beberapa syarat yang diberikan UMNO itu perlu kita teliti terlebih dahulu supaya keputusan itu dibuat oleh parti dan saya yakin parti akan merumuskan dalam masa terdekat.
“Ada beberapa isu kecil sahaja yang kita boleh usahakan. Kalau berjaya kita teruskan dan kalau tak berjaya, kita ada pelan kedua,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Kata Tuan Ibrahim lagi, PAS tidak bermain ‘dua kolam’ atau lebih kerana ia bukan hanya membabitkan kepentingan politik, sebaliknya membabitkan semua perkara.
“Sebab itu bagi kita bukan hanya PAS dan UMNO, kalau dua kolam hanya PAS dan UMNO sahaja. Penyatuan ummah ini gagasan besar. Walaupun tiada mesyuarat rasmi, MN (Muafakat Nasional) ini tiada pihak yang nak bubar sebab bagi saya ia adalah platform untuk kepentingan bukan hanya untuk politik tetapi juga kepentingan masyarakat.
“Kalau kita lihat dalam ayat al-Quran, kalau dua kumpulan umat Islam bertelagah, maka kamu damaikan mereka. Kalau nak kira sensitif rasa hati, PAS lebih rasa hati dengan UMNO, 60 tahun berbanding dengan BERSATU malah BERSATU pun sebahagiannya adalah pemimpin UMNO dahulu,” katanya.
UMNO sebelum ini menetapkan tiga syarat utama mesti dipenuhi PAS, sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidiri dilaporkan berkata tiga syarat utama ditetapkan kepada PAS itu, ialah keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Beliau berkata, PAS juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan BERSATU.