5 OKT : Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan berikutan kira-kira 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari bermula Jumaat ini hingga Isnin berikutan cuti sambutan Maulidur Rasul.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, sejak beralih ke fasa peralihan ke endemik, PLUS telah merekodkan jumlah trafik harian sepertimana tempoh prapandemik iaitu purata 1.7 juta kenderaan setiap hari pada hari biasa.
Menurut Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Mohd Yusuf Abdul Aziz, pada masa ini, trend menunjukkan lonjakan 1.9 juta kenderaan pada hujung minggu dan menjangkakan ia berterusan ketika hujung ini dan cuti sambutan Maulidur Rasul.
“Kami jangkakan banyak pengguna jalan raya akan mengambil kesempatan cuti hujung minggu selama tiga hari, trafik akan meningkat dan dijangka banyak perjalanan yang jauh. Oleh itu, kami menasihatkan pelanggan membuat persediaan dan memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik.
“Sebelum memasuki lebuh raya, sebaiknya tambah nilai kad Touch ‘n Go anda dan pastikan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan Identifikasi Frekuensi Radio) mempunyai baki yang mencukupi untuk mengelak kesulitan ketika keluar di plaza tol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini, pelanggan lebuh raya boleh melayari laman web www.plus.com.my selain Facebook dan Twitter @PLUSTrafik.