6 OKT : Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan hari ini mengesahkan 20 anggotanya disiasat berhubung kes rompakan berkumpulan yang berlaku di Semporna, Sabah, dalam dua insiden berasingan pada 15 dan 18 Ogos lalu.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menerusi satu kenyataan hari ini berkata, 20 anggota terbabit pada masa ini disiasat bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.
“ATM menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan untuk proses tindakan selanjutnya.
“Ingin ditegaskan bahawa ATM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu membabitkan sebarang jenayah atau pelanggaran disiplin terutama di kalangan warga ATM,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Ketegasan ini menurut Affendi, adalah penting kerana ia boleh mencemarkan imej ATM sebagai sebuah organisasi yang mendukung konsep integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan negara.
Beliau juga meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau sebarang kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan kes ini.
Kejadian rompakan berkumpulan ini disyaki dilakukan oleh anggota keselamatan pada 15 dan 18 Ogos yang lalu di perairan Pulau Siamil, Semporna.
Kedua-dua kes disiasat mengikut 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan.
Semua suspek sudah dijamin pada 25 September lalu dan kes masih dalam siasatan