6 OKT : Jabatan Kerja Raya telah melaksanakan program pemetaan risiko dan bahaya cerun di seluruh jalan persekutuan Semenanjung Malaysia dan telah mengenal pasti cerun-cerun yang berada dalam kategori berisiko di Cameron Highland.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, setakat ini, terdapat 26,791 kawasan cerun di seluruh semenanjung yang telah dikenal pasti oleh JKR.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 16,233 cerun dikenal pasti mempunyai risiko yang sangat rendah, 5,345 cerun risiko rendah, 3,192 cerun berisiko sederhana, 976 berisiko tinggi dan 1,045 dikenal pasti sebagai kawasan cerun berisiko sangat tinggi.
“Bagi kawasan Cameron Highland sahaja, terdapat sebanyak 884 bilangan cerun yang mana 46 daripadanya dalam kategori berisiko tinggi dan 65 daripadanya dikategori sebagai sangat berisiko tinggi.
“Bagi tujuan pemantauan, JKR telah memasang 8 stesen tolok hujan sebagai persediaan bagi menghadapi ancaman cerun runtuh di sepanjang jalan Cameron Highland, iaitu di jalan Simpang Pulai- Gua Musang, jalan Tapah- Cameron Highland serta di jalan Ringlet- Sungai Koyan.
“Tujuan pemasangan stesen tolok hujan ini adalah untuk memberi petunjuk kemungkinan berlakunya cerun runtuh dalam hubung kaitnya dengan kadar hujan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk Ramli Mohd Nor yang meminta penjelasan apa perancangan JKR bagi memantau cerun-cerun yang dikategorikan berisiko tinggi di Cameron Highland di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, had amaran semasa akan dipaparkan di laman web sistem amaran awal cerun JKR, yang memberi amaran awal kadar runtuhan, seterusnya dimaklumkan kepada jurutera daerah untuk mengambil langkah berjaga serta melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat tanda-tanda awal cerun runtuh di kawasan berisiko tinggi.
“Oleh itu, bagi menghadapi musim peralihan monsun timur laut, JKR sentiasa dalam keadaan bersiap siaga dan JKR daerah turut mengadakan rondaan secara berkala bagi melihat sebarang tanda-tanda awal runtuhan bagi keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan cerun berisiko tinggi.
“Bagi kawasan yang telah menunjukkan tanda-tanda akan berlaku runtuhan, JKR akan menutup jalan dan akan memasang serta menyediakan pengurusan trafik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“JKR juga telah bersedia dari segi logistik sekiranya berlaku runtuhan dengan menutup kawasan runtuhan dengan kanvas sebelum kerja-kerja pembaikan di laksanakan di kawasan tersebut,” katanya.
Bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Cameron Highland berhubung tindakan penyelenggaraan dan pembaikan yang telah diambil JKR terhadap kawasan cerun yang dikenal pasti berisiko tinggi di kawasan itu, beliau berkata, JKR telah melakukan kerja-kerja penyelengaraan rutin terhadap cerun-cerun berisiko tinggi dan sangat tinggi.
“Antara tindakan yang telah diambil JKR adalah pemantauan secara fizikal ke atas struktur cerun, penyelenggaraan berkala serta kerja pengukuhan struktur cerun ke atas cerun berisko tinggi dan sangat tinggi
di bawah kontrak penyelenggaraan cerun jalan semenanjung Malaysia yang dilaksanakan syarikat Pintas Utama.
“Bagi tahun ini sahaja, kerajaan melalui JKR telah memperuntukan sebanyak RM16.7 juta bagi tujuan pembaikan cerun di Cameron Highland sahaja yang melibatkan 16 lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya.