6 OKT : Yang di-Pertuan Agong hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara petang tadi.
Menerusi satu kenyataan, Istana Negara berkata, mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Ismail Sabri dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira 4.45 petang selepas kurang sejam menghadap Agong.
Spekulasi yang mendakwa Ismail Sabri menghadap Agong bagi menasihati Baginda tarikh pembubaran Parlimen menyebabkan kira-kira 100 petugas media tempatan dan antarabangsa berkumpul di luar pintu masuk Istana Negara seawal pukul 7.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, kenyataan Istana Negara tidak menyebut tentang perbincangan tarikh pembubaran Parlimen dalam pertemuan Baginda bersama Perdana Menteri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa hari ini turut memaklumkan bahawa mesyuarat Kabinet akan diadakan, sekaligus mematikan spekulasi bahawa Parlimrn akan dibubarkan esok.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, isu Parlimen dibubarkan atau sebaliknya, tidak sepatutnya ditimbulkan lagi.