6 OKT : Tiada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau mesyuarat tergempar melibatkan pemimpin parti itu di Menara Dato’ Onn malam ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan mesyuarat itu ada membincangkan isu manifesto pilihan raya.
“UMNO memang selalu bermesyuarat dan banyak perkara dibincangkan dari semasa ke semasa.
“Sekarang ini kami dalam sesi libat urus, kini dalam sesi kali kedua, bertemu dengan bahagian-bahagian di peringkat kedua.
“Sebagai contoh pada hari ini, Bahagian Bera adalah salah satu bahagian yang ada sesi libat urus, tempat Perdana Menteri. Pada hari ini juga, kebetulan Bagan Datuk, sesi libat urus melibatkan Presiden UMNO juga diadakan.
“Sesi libat urus Pontian (tempat Ahmad) telah diadakan sebelum ini. Tiada apa luar biasa berlaku malam ini. Kalau ada luar biasa, kami akan maklumkan tapi malam ini tiada apa luar biasa. Semua biasa-biasa sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui media di Menara Dato’ Onn pada Khamis malam.
Mengulas kehadiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada petang tadi, Ahmad berkata sebagai Naib Presiden UMNO, sudah tentu banyak perbincangan dibuat di Ibu Pejabat UMNO itu yang turut melibatkan Ahli Parlimen Bera itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya kemunculan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali ke Menara Dato’ Onn, Ahli Parlimen Pontian itu berkata kunjungan daripada pelbagai pihak adalah perkara biasa.
“Banyak pihak melakukan kunjungan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kalau nak senaraikan pun tak boleh nak senaraikan,” ujarnya.
Tidak dipastikan tujuan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu hadir dan ketika ditanya media, beliau tidak memberikan sebarang jawapan.