7 OKT : Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 hari ini akan memberikan impak positif dalam usaha memerangi jenayah ‘scam’ di negara ini, demikian tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acyrl Abdullah Sani.
Beliau yakin usaha sama antara semua agensi terbabit akan memberikan impak positif, menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan pelbagai peruntukan yang akan dinikmati secara langsung oleh warga PDRM.
“NSRC yang menggabungkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian.
“Kita turut menyambut baik dana RM431 juta untuk pembelian dan penyelenggaran aset-aset PDRM serta RM42 juta untuk baik pulih dan naik taraf kuarters kediaman PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bajet 2023 turut mengumumkan penambahan 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen, Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu, Sabah.
Acryl Sani berkata, PDRM juga menyambut baik diskaun 50 peratus pengangkutan awam Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kepada 21,000 pemegang kad pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang.
“PDRM akan memastikan peruntukan yang diumumkan kerajaan melalui Bajet 2023 dimanfaaatkan sepenuhnya bagi memperkasa kualiti perkhidmatan kepada keluarga besar Malaysia dalam memelihara kenteraman dan keamanan negara,” katanya.