7 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menjadi manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara, menjadi sebuah negara unggul setelah mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini.
“Alhamdullilah, saya gembira dengan pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini. Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion ini menyaksikan peningkatan yang ketara berbanding Bajet tahun lalu.
“Bajet 2023 juga memperlihatkan komitmen Kerajaan menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia dan tertumpu kepada usaha kerajaan bagi melindungi kebajikan rakyat.
“Semoga usaha yang berterusan akan menjadikan negara kita lebih sejahtera, aman, makmur dan Keluarga Malaysia mendapat penghidupan yang lebih berkualiti untuk hari-hari yang mendatang,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Bajet 2023 dibentang oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat ketika pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Parlimen.