7 OKT : Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikeluarkan daripada Notis Merah Polis Antarabangsa (INTERPOL), seperti didakwa di Twitter, baru-baru ini.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saadudin menerusi satu kenyataan berkata, mengesahkan menerima laporan polis mengenai hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Twitter @theborneoghost itu.
Ciapan di akaun Twitter terbabit menurutnya mendakwa Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyatakan Jho Low sudah dikeluarkan daripada Notis Merah INTERPOL, sebagai helah supaya individu itu kembali ke Malaysia.
“Itu berita palsu daripada pihak yang tidak bertanggung jawab dengan tujuan mewujudkan kegusaran awam.
“Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini sedang menjalankan siasatan mengenai perkara itu,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Noorsiah berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Masyarakat dinasihat agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan berita yang tidak benar sehingga boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.
Semakan BH di akaun Twitter berkenaan mendapati ciapan itu dimuat naik pada 6 Oktober lalu dan ia mendapat respons balas dari 243 pengguna, diulang ciap sebanyak 733 kali, serta 725 tanda suka.
Pada 13 Disember 2021, BH melaporkan polis sudah memperoleh Notis Merah terhadap Jho Low daripada INTERPOL bagi membantu siasatan berkait penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Notis Merah terhadap Jho Low diperoleh pada 11 Jun 2018.
Acryl Sani memaklumkan Notis Merah dikeluarkan terhadap Jho Low untuk rujukan agensi penguatkuasaan dan tidak boleh diakses umum.