8 OKT : Dua rakyat Palestin terbunuh manakala 12 lagi cedera pada Sabtu ketika tentera Israel melakukan serbuan ke atas sebuah kem pelarian di bandar Jenin utara Tebing Barat.
Saksi mendakwa tentera Israel bertindak menyerbu kem pelarian dan mengepung sebuah rumah warga Palestin.
Seorang lelaki dikenali sebagai Mahmoud Al-Soous disahkan maut selepas ditembak di bahagian leher, manakala seorang lagi lelaki ditembak di kepala.
Pertempuran sengit tercetus antara askar Israel dan sekumpulan lelaki bersenjata Palestin.
Jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan berkata tentera Israel bertindak menyerbu kem pelarian untuk menjejaki seorang anggota gerakan Jihad Islam Palestin tetapi sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah tentera.
Tentera Israel menyerbu rumah penduduk Palestin setiap hari dengan sengaja, kata Gabenor Jenin Kamal Abu Robb sambil mengutuk serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian itu.
“Israel cuba menghapuskan penentangan bersenjata di Jenin tetapi mereka tidak akan berjaya melakukannya,” kata jurucakap Gerakan Penentangan Islam Palestin (Hamas) Hazem Qassem menerusi satu kenyataan hari ini.
Sejak Januari seramai 111 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.