11 OKT : Keputusan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubar atau tidak akan dimuktamadkan esok melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, terdapat permintaan daripada DAP Pulau Pinang supaya DUN di negeri itu dibubarkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perkara itu menurut beliau dibahaskan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan akan dibawa ke Majlis Presiden PH untuk diputuskan esok.
“DAP Pulau Pinang sudah hantar cadangan ini supaya pertimbangan semula dibuat selepas menerima pandangan orang ramai supaya pilihan raya diadakan secara serentak.
“Ini kerana, setiap negeri mempunyai keadaan berlainan. Selangor dan Negeri Sembilan berbeza dengan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat CEC DAP di Kuala Lumpur malam ini.
Loke berkata, semua jawatankuasa DAP peringkat negeri diberikan tempoh sehingga Isnin depan untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.