11 OKT : Malaysia menyertai komuniti antarabangsa dalam menyuarakan kebimbangan masing-masing mengenai peluang yang terlepas bagi memperbaharui gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman selepas tamat tempohnya pada 2 Oktober lalu.
Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) Malaysia mengikuti rapat perkembangan di negara itu dan percaya penyambungan semula rundingan antara pihak berkenaan penting ke arah mencapai penyelesaian dalam rundingan politik serta inklusif di Yaman.
“Keazaman politik yang kuat oleh pemimpin semua parti akan membawa kepada penyelesaian secara damai kepada konflik Yaman dan merintis jalan untuk mengembalikan negara itu pada kedudukan normal,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Selasa.
Malaysia berbesar hati menyatakan bahawa perjanjian gencatan senjata yang diusahakan PBB sejak 2 April 2022, menyumbang kepada keadaan yang lebih baik dalam kalangan penduduk serta mengurangkan korban nyawa orang awam di negara itu.
Untuk itu, Malaysia menggesa semua pihak terus meletakkan kepentingan masing-masing dalam menyelesaikan konflik secara baik melalui dialog, tanpa sebarang prasyarat dan dengan niat baik demi kesejahteraan dan manfaat rakyat Yaman.
“Malaysia juga menggesa pihak yang berkaitan supaya bertenang, mengambil tindakan bijak untuk menghentikan sebarang tindakan bersenjata dan provokasi yang tidak wajar serta mematuhi resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan termasuk melanjutkan perjanjian gencatan senjata ke suatu tempoh yang lebih lama,” menurut kenyataan itu.
Malaysia menyuarakan sokongan penuhnya terhadap usaha PBB dan negara lain yang berfikiran sama dalam mencari penyelesaian berpanjangan untuk menamatkan konflik di Yaman.
Menurut Agensi Anadolu, Yaman dilanda keganasan dan ketidakstabilan sejak 2014 apabila puak Houthi yang bersekutu dengan Iran menawan sebahagian besar negara itu termasuk Sana’a. – BERNAMA