12 OKT : Barisan Nasional (BN) tidak akan mencampuri urusan kehakiman seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH) sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, isu membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jika BN kembali berkuasa langsung tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.
“BN tidak akan mencampuri urusan mahkamah sepertimana pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 selepas PH mengambil alih kerajaan.
“Kita dapat lihat bagaimana terlibat dan mencampuri urusan kehakiman, dan kami tidak akan ulangi apa yang PH lakukan bila mereka menjadi kerajaan,” tegasnya dalam sidang media di Menara Dato Onn Kuala Lumpur, hari ini.
Asyraf berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan membebaskan bekas perdana menteri, Najib Razak jika mereka kembali berkuasa.
BN kata Asyraf lagi, memberi fokus kepada usaha untuk memenangi hati rakyat melalui tawaran manifesto yang berkesan untuk rakyat.
“Umno, BN kami sentiasa akur pada undang-undang dan menghormati perlembagaan, dan apa yang lebih penting kami fokus kepada pilihan raya ini untuk membela rakyat,” ujarnya.
Mahathir sebelum ini mendakwa Umno akan sekali lagi memberi sogokan untuk memenangi PRU15 seterusnya memberi pengampunan kepada Najib.
Pada 2018, setelah PH memenangi pilihan raya, Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu mengotakan janjinya dengan mengaturkan pengampunan diraja kepada Anwar atas tuduhan meliwat.