12 OKT : Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah masih belum membuat keputusan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak setakat ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
“Setakat ini DUN Perak masih belum dibubarkan sementara menanti pertimbangan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, terhadap permohonan pembubaran yang dipersembahkan itu. .
“Tadi saya telah serah warkah permohonan pembubaran DUN ke-14 untuk pertimbangan Sultan Perak selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
“Pada sesi itu, Sultan Nazrin bertitah bahawa Baginda mengambil maklum mengenai permohonan yang dikemukakan dan akan membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Sehubungan itu, Saarani berkata, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumum selepas Baginda berkenan membuat keputusan berkenaan perkara itu.