13 OKT : Seramai195 tokan dadah berjaya ditahan Polis sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, hasil Op Tapis Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor yang memberi tumpuan di beberapa lokasi panas seperti jeti nelayan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), sarang penagih dan kawasan FELDA.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 43.38 peratus berbanding 136 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, penahanan ke atas tokan dadah itu dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Mereka akan dikenakan perintah tahanan dan sekatan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, tindakan itu dapat mengurangkan aktiviti penyalahgunaan dadah dengan mengeluarkan pengedar serta penagih dadah dari kelompok masyarakat melalui tindakan pemenjaraan untuk tempoh antara lima hingga tujuh tahun.
Dalam tempoh sama, katanya, seramai 23,973 orang diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 11,472 ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 10,692 lelaki dan 780 wanita berusia antara 13 tahun hingga 70 tahun. Mereka yang ditahan termasuk 2,240 bagi kes bekalan, 3,912 kerana memiliki dadah dan 5,320 adalah penagih dadah. Terdapat 3,100 orang dikehendaki juga ditahan,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, polis merampas heroin seberat lebih 62 kilogram (kg); syabu lebih 118 kg; lebih 144 kg ganja; lebih 18 kg ketamin; 54,084 biji pil eramin 5; 3,974 biji pil yaba; 306 biji pil nospan; 20,900 biji pil ekstasi; lebih 984kg daun ketum, 267kg serbuk dadah, 18kg magic mushroom dan 16,743 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM12.43 juta dengan anggaran berat dadah 2.94 tan.
“Bekalan dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan lebih 1.4 juta penagih dadah dan kita turut menyita harta sindiket bernilai hampir RM7.5 juta,” katanya.