13 OKT : Istana Selangor hari ini mengeluarkan satu kenyataan bagi membetulkan beberapa fakta yang kurang tepat berhubung keputusan kerajaan negeri Selangor untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihan raya tahun ini.
Setiausaha Sulit Kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani menjelaskan, terdapat beberapa kenyataan yang kurang tepat berhubung perkara itu seperti yang tersiar di akhbar dan juga media sosial.
“Adalah dimaklumkan setelah membaca Kenyataan-Kenyataan di Akhbar dan juga Media Sosial berhubung dengan keputusan
Kerajaan Negeri Selangor untuk tidak membubarkan Dewan Negeri Selangor bagi mengadakan pilihanraya pada tahun ini,
didapati terdapat beberapa kenyataan yang kurang tepat
“Sebenarnya pada 11 Oktober 2022 yang lalu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak membuat permintaan kepada Sultan Selangor untuk membubarkan Dewan Negeri Selangor pada tahun ini dan berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Katanya lagi, Sultan Sharafuddin mengambil maklum akan apa yang dipersembahkan oleh Menteri Besar dan mengharapkan agenda pembangunan Negeri Selangor yang telah dirancang dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.