14 OKT : Amerika Syarikat (AS) pada Khamis melanjutkan status pandemik COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam selama 90 hari lagi, sekali gus mengekalkan beberapa langkah seperti bayaran tinggi kepada hospital selain memperluaskan Medicaid.
Lanjutan itu diumumkan Setiausaha Kesihatan AS, Xavier Becerra.
Bulan lalu, Presiden Joe Biden menerusi temu bual dilaporkan berkata “pandemik telah berakhir”, sekali gus menimbulkan kritikan daripada pakar kesihatan.
Jumlah kes COVID-19 berkurangan dengan ketara sejak awal penggal pentadbiran Biden berikutan penjagaan kesihatan dipertingkatkan, ubat-ubatan dan vaksinasi tersedia dengan lebih meluas.
Bagaimanapun ratusan orang dilaporkan maut akibat coronavirus di AS, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.
Biden telah meminta Kongres untuk membiayai AS$22.4 bilion (RM105.15 bilion) lagi untuk mempersiapkan kemungkinan lonjakan kes.
Bekas Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat negara pada 2020 untuk membebaskan dana sebanyak AS$50 bilion (RM234.7 bilion) dalam bantuan persekutuan.