15 OKT: Satu dana khas sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia dan RM100,000 kepada Persatuan Bekas Polis Pahang, sebagai menghargai jasa pesara pasukan keselamatan itu.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peruntukan itu juga bertujuan memastikan kebajikan pesara polis yang membantu menjaga keselamatan negara sepanjang perkhidmatan mereka, terus terjaga dan dibela.
“Apabila cakap soal pesara, mereka selalu nak dengar pengumuman kerajaan khusus untuk pesara, tetapi kerajaan sebenarnya telah umum pelbagai pinjaman perniagaan, misalnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang diperuntukkan sejumlah besar, meliputi semua termasuk pesara.
“Jadi sebenarnya banyak program diumumkan kerajaan di bawah latihan Perkeso, HRD Corp yang tak sebut secara terperinci kepada pesara, namun jelas bahawa pesara memang tidak dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Pahang kali ke-42 di sini hari ini.
Ismail Sabri turut memaklumkan pengecualian cukai kepada individu dan badan korporat yang memberi dana kepada persatuan atau badan yang tidak membuat keuntungan seperti Persatuan Bekas Polis Malaysia.
Dalam pada itu Ismail Sabri berharap pesara polis dapat terus mempertahankan kerajaan seperti semasa mereka berkhidmat, selagi pemerintah negara tidak melakukan sebarang kemungkaran.
“Barisan hadapan negara yang menjaga keselamatan dan mempertahankan kerajaan adalah tentera serta polis; dan waktu bertugas dalam pasukan keselamatan, memang sumpah setia mempertahankan kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan sekiranya Barisan Nasional diberi peluang untuk terus mentadbir negara, Bajet 2023 akan dibentangkan semula dan segala bantuan serta inisiatif yang dirangka bakal dilaksanakan untuk manfaat rakyat.
“Dalam Bajet 2023 sudah menyeluruh, kalau kerajaan yang berbeza, tak tahu lagi bajet apa yang akan dibentangkan,” katanya.