16 OKT : Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, bertanding bagi tujuh daripada lapan kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil (PRK) esok, yang disifatkannya sebagai referendum untuk mengukur popularitinya.
PRK itu menjadi plot terbaru dalam pertikaian politik yang bermula selepas Khan ditumbangkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen pada 10 April lalu.
Khan ketika berucap pada perhimpunan di Karachi semalam, menegaskan PRK itu bukan sekadar pilihan raya sebaliknya satu referendum.
“Ini bukan sekadar pilihan raya, ini adalah referendum,” katanya di hadapan penyokong.
Menerusi PRK itu, calon dibenarkan bertanding lebih daripada satu kerusi, yang mana jika menang, mereka boleh memilih untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi atau sebaliknya.
Bagi kerusi yang dilepaskan calon yang menang, undian berasingan perlu diadakan.
Bagaimanapun, jarang untuk seorang calon bertanding di beberapa kerusi seperti dilakukan Khan dan tindakannya itu jelas dilihat sebagai langkah untuk mengukur popularitinya.
PRK itu diadakan ketika Pakistan bergelut dengan krisis pasca banjir monsun yang memberi kesan kepada lebih 30 juta penduduk dan menyebabkan satu pertiga kawasan di negara berkenaan ditenggelami air.
Khan sebelum ini mengadakan puluhan perhimpunan sejak digulingkan, menarik puluhan ribu peserta dan berikrar untuk menganjurkan perarakan penyokongnya di ibu negara.
Beliau turut menuntut kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif, supaya segera mengadakan pilihan raya umum berbanding menunggu hingga Oktober tahun depan.
“Jika beliau memenangi kerusi yang ditandinginya, beliau akan lebih menekan kerajaan.
“Bagaimanapun, kerajaan sudah tentu akan menolak desakan mengadakan pilihan raya dengan mendakwa ia tidak mencerminkan hasrat rakyat,” kata penganalisis politik, Hassan Askari Rizvi.
PRK esok membabitkan lapan kerusi Parlimen di tiga wilayah iaitu, masing-masing tiga di Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa serta dua di Sindh.