17 OKT : Bajet 2023 perlu dibentang semula memandangkan pembubaran Parlimen dibuat sebelum bajet berkenaan dibahas dan diluluskan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bajet tersebut akan dibentangkan semula sebelum akhir tahun ini.
“Kita dah umum bajet, macam-macam yang kita nak bagi kepada rakyat terutama orang kampung.
“Tetapi kita belum luluskan lagi, kita kena bentang dulu dan akan bentang sekali lagi sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama peserta Felcra Berhad, pekebun kecil RISDA dan Tok Batin/Penghulu Orang Asli di Arena Merdeka pada Isnin.
Kata Ismail Sabri, semua intipati dalam bajet berkenaan akan diluluskan dan dilaksanakan sekiranya mendapat mandat sekali lagi sebagai kerajaan.
“Kalau orang lain perintah, saya tidak jamin dapat apa yang dijanjikan. Kalau kita perintah dan saya sekali lagi jadi Perdana Menteri, InsyaAllah semua bajet yang dibentangkan akan kita luluskan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan bajet bukan seperti janji manifesto kerana apabila sudah dibentangkan, bermakna kerajaan telah bersedia untuk melaksanakannya.
“Bajet apabila dibentangkan bermakna duit sudah tersedia ada, itu bezanya, duit sudah ada cuma tunggu lulus sahaja, apabila dah lulus, terus boleh dilaksanakan,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.
Belanjawan itu merangkumi empat teras fokus iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.