18 OKT : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Tan Sri Tommy Thomas untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat berhubung ucapannya yang berbaur perkauman pada satu forum, September lalu.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jayakumar, yang menjadi panel dalam forum berkenaan turut akan dipanggil bagi dirakam keterangan.
“PDRM menerima laporan polis mengenai kenyataan Tan Sri Tommy Thomas, yang didakwa menyentuh isu berbaur perkauman.
“Ucapan itu disampaikan pada “Forum Dark Forces Towards GE15”, yang diadakan pada 17 September 2022 anjuran Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.
“Tan Sri Tommy Thomas dan seorang ahli panel forum itu iaitu Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj akan dipanggil untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat,” katanya dalam tersebut.
Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Media sebelum ini melaporkan, Tommy dalam forum itu didakwa berkata, bahawa dua pentadbiran kerajaan selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 melambangkan kegagalan kerajaan yang dikuasai Melayu.
Perkara itu menimbulkan bantahan beberapa pihak, termasuk Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan Majlis Perundingan Melayu, Shahbudin Embun.
Ucapan Tommy itu dilihat berbaur perkauman dan boleh membawa padah kepada keharmonian kaum di negara ini.