18 OKT : Seluruh ahli MCA berikrar menyokong bekas Ahli Parlimen Bentong, Tan Sri Liow Tiong Lai untuk bertanding semula, bagi merampas kawasan tersebut untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.
Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA telah membuat keputusan untuk menyokong pencalonan semula Tiong Lai semenjak satu tahun setengah yang lepas, dan beliau merupakan calon MCA yang paling layak untuk kawasan P089 Bentong.”
Katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini, walaupun gagal mempertahankan Bentong pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, namun Tiong Lai tetap setia dan terus memberikan khidmat di kawasan tersebut, malah terus membantu warga Bentong sama ada ketika bencana banjir mahupun kebakaran besar di Karak.
“Beliau sentiasa berada di barisan hadapan membantu dalam usaha penempatan mahupun pembinaan semula untuk mangsa-mangsa.
“Ketika pandemik COVID-19 melanda, Tiong Lai juga bertungkus lumus mengumpul dana dan barangan bagi membantu rakyat. Dari dahulu sampai sekarang.
“Beliau sentiasa memelihara hubungan yang baik dengan persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat malah parti-parti komponen BN yang lain, serta sentiasa mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.”
Tambah Ka Siong lagi, ramai di kalangan pengundi telah menyatakan keinginan yang kuat secara terbuka mahu Tiong Lai kembali menjadi wakil rakyat mereka, memandangkan sumbangan besarnya terhadap Bentong selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen.
Selain itu, Ka Siong turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengatakan parti DAP akan mengumpul ‘peluru’ untuk membantu DAP Bentong ‘menembak’ Tiong Lai sehingga tersungkur, sambil menyifatkannya sebagai kenyataan angkuh dan menyedihkan, yang keluar dari mulut seorang pemimpin yang tidak menghormati doktrin demokrasi.
“Seluruh ahli MCA akan memberikan sokongan tanpa belah bahagi bagi memastikan kemenangan Tiong Lai di Bentong, agar beliau dapat melaksanakan perancangan dan tugasan yang belum selesai, membawa kesejahteraan kepada penduduk serta mengembalikan pembangunan Bentong ke landasan yang betul,” tegasnya.