18 OKT : Ringgit mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa, seiring prestasi kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun susulan pemulihan sentimen serta penurunan dolar.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menokok kepada 4.7145/7165 daripada 4.7150/7185 pada akhir urus niaga semalam.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata prestasi ringgit turut didorong oleh laporan mengenai rancangan Bank of England untuk melanjutkan program kecemasan membabitkan pembelian bon.
Beliau berkata, yuan China juga secara relatifnya stabil apabila pihak bank pusat iaitu Bank of China bertindak menetapkan mata wang itu dalam jajaran lebih kecil.
“Berikutan itu, pergerakan gandingan dolar AS-yen Jepun (AS$-JPY) meningkat biarpun terdapat kemungkinan campur tangan oleh Bank of Japan.
“AS$-JPY ini penanda aras pertukaran asing untuk Asia. Oleh itu, kita berkemungkinan menyaksikan prestasi ringgit dibuka menyusut esok jika gandingan dua mata wang itu terus meningkat dalam tempoh semalaman,” katanya.
Dalam pada itu, RAM Rating Services Bhd menerusi nota tinjauannya hari ini berkata, kenaikan kadar faedah AS secara agresif telah menjejaskan tarikan pasaran bon negara sedang pesat membangun.
Permintaan asing ke atas Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Konvensional Kerajaan telah menurun pada September dengan jumlah aliran keluar bersih mencecah RM2.5 bilion di tengah-tengah pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung menaikkan kadar faedah.
Setakat ini, bank pusat AS itu telah menaikkan kadar faedah berjumlah 300 mata asas.
Selain itu, hasil Perbendaharaan AS 10 Tahun (UST) melonjak 68.0 mata asas bulan ke bulan kepada 3.83 peratus pada akhir September lepas yang mengatasi hasil MGS 10 tahun yang menokok 45.7 bps kepada 4.44 peratus pada tarikh sama.
“Berikutan itu, perbezaan hasil MGS dan UST berkurangan dan menjejaskan tarikan bon dalam ringgit bagi kalangan pembeli asing.
“Perbezaan kadar itu berterusan pada Oktober dengan UST masih mengatasi kenaikan MGS,” kata agensi penarafan kredit itu.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama.
Unit tempatan itu naik berbanding pound Britain kepada 5.3118/3141 daripada 5.3199/3239 serta mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1630/1646 daripada 3.1712/1738 sebelum ini.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3168/3184 daripada 3.3053/3080 pada Isnin dan rendah berbanding euro kepada 4.6372/6391 daripada 4.5981/6015.– BERNAMA