19 OKT : Australia mengumumkan tidak lagi mengiktiraf Baitulmaqdis barat sebagai ibu negara Israel, yang dianggap sebagai satu teguran kepada regim Yahudi tetapi disambut gembira oleh rakyat Palestin.
Menteri Luar, Penny Wong, berkata status bandar itu harus diputuskan menerusi rundingan damai Israel-Palestin, sekali gus membatalkan keputusan sebaliknya yang dibuat oleh kerajaan konservatif terdahulu.
Pada 2018, Scott Morrison, Perdana Menteri Australia ketika itu, dilihat mengikut telunjuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam mengiktiraf Baitulmaqdis barat sebagai ibu negara Israel.
Ia disusuli tindak balas domestik di Australia dan pergeseran dengan negara jiran, Indonesia – negara dengan majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia – mengakibatkan perjanjian perdagangan bebas dua hala tergugat buat sementara waktu.
“Saya tahu perkara ini menyebabkan konflik dan kesusahan pada sebahagian masyarakat Australia dan hari ini kerajaan berusaha untuk menyelesaikannya,” kata Wong.
Baitulmaqdis dituntut oleh Israel dan Palestin, tetapi kebanyakan kerajaan mengelak daripada meletakkan kedutaan di sana untuk mengelakkan prasangka keputusan rundingan untuk keamanan yang berkekalan.
“Kami tidak akan menyokong pendekatan yang menjejaskan (penyelesaian dua negara). Kedutaan Australia sentiasa berada dan kekal di Tel Aviv,” kata Wong.
Wong turut menegaskan bahawa keputusan itu – yang mempunyai kesan praktikal terhad – tidak memberi isyarat apa-apa perubahan yang lebih luas dalam dasar atau permusuhan terhadap Israel.
“Australia akan sentiasa menjadi rakan setia Israel. Kami adalah antara negara pertama yang mengiktiraf Israel secara rasmi.
“Kami tidak akan goyah dalam sokongan kami terhadap Israel dan komuniti Yahudi di Australia. Kami sama sekali tidak berbelah bahagi dalam sokongan kami kepada rakyat Palestin, termasuk sokongan kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Yair Lapid, mengkritik langkah itu, yang dibuat ketika beliau bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum 1 November ini.
“Kami hanya boleh berharap kerajaan Australia menguruskan hal-hal lain dengan lebih serius dan profesional,” katanya.
Pengarah Politik Kementerian Luar Israel, Aliza Bin Noun, pula memanggil duta Australia, Paul Griffiths, semalam untuk menyatakan ‘kekecewaan mendalam’ negaranya dan mahu membantah ‘keputusan mengejutkan’ Canberra.
Dalam satu kenyataan kementerian luar, Bin Noun memberitahu Griffiths bahawa langkah itu akan menggalakkan ekstremisme dan menjejaskan kestabilan serantau.
Israel merampas Baitulmaqdis timur berikutan Perang Enam Hari 1967 dan mengisytiharkan seluruh kota itu sebagai ‘ibu kota yang kekal dan tidak boleh dibahagikan’.
Rakyat Palestin pula mendakwa sektor timur sebagai ibu negara masa depan mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Hal Ehwal Awam Pihak Berkuasa Palestin, Hussein Al-Sheikh, pula mengalu-alukan langkah Canberra sebagai ‘penegasan’ bahawa status Baitulmaqdis bergantung kepada hasil rundingan.
Hamas, kumpulan Islam yang mengawal Gaza, menyebutnya ia sebagai ‘langkah ke arah yang betul’ dan Indonesia turut mengalu-alukan keputusan itu.
“Dasar ini diharapkan dapat menyumbang secara positif kepada rundingan damai Palestin-Israel,” kata Kementerian Luar di Jakarta.