UMNO tolak kerjasama dengan BERSATU elak mudarat lebih besar
19 OKT : UMNO menolak dakwaan parti itu memecah belahkan ummah kerana menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tohmahan ini sama sekali tidak benar sedangkan UMNO itu sendiri memayungi penyatuan ummah.
Katanya, agenda penyatuan itu terkandung rasmi dalam perlembagaannya demi agama, bangsa dan negara, seterusnya diharmonikan dalam sebuah gagasan besar milik rakyat Barisan Nasional (BN).
“UMNO menolak kerjasama dengan BERSATU demi mengelakkan kemudaratan yang besar.
“Sedangkan BERSATU sebuah parti yang ditubuhkan dengan matlamat untuk menamatkan UMNO dan BN.
“Apakah rasional UMNO diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut?
“Keputusan ini tidak bersifat individu, sebaliknya dicapai bersama oleh pimpinan dan akar umbi parti,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Kata Ahmad Zahid lagi, dalam mendalami perihal pemecah belah ummah, ia harus bersandarkan fakta dan sejarah yang nyata.
Jelasnya, usaha memecahbelah bermula dengan kewujudan parti-parti politik serpihan angkara krisis tamak kuasa.
“Bermula dengan PKR, disusuli kewujudan PPBM, PAN dan Pejuang memangkin kepada perpecahan.
“Para pimpinannya malah pernah bersengkongkol dengan DAP yang mereka sendiri labelkan tidak selari dengan Melayu.
“Rela dipergunakan untuk memecahahbelahkan ummah demi memenuhi kehendak dan cita-cita peribadi,” tegasnya.
UMNO pula katanya, bersama BN berjaya membentuk sebuah gabungan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama.
“UMNO, MCA, MIC, PBRS dan ‘Friends of BN’ bermuafakat dengan prinsip bangsa Malaysia saling menghormati.
“Inilah jua asas yang kukuh memupuk kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini.
“Tidak pernah memecahbelahkan kesatuan ummah, tidak pernah pernah jua merobek penyatuan bangsa Malaysia,” katanya.
Justeru, menurut Ahmad Zahid, pengundi dalam PRU ke 15 ini harus berani menilai erti kestabilan dan kemakmuran dalam menetapkan pilihan.
“Usah terkilaf membuat penentuan kerana penyatuan ummah dan rakyat Malaysia kini terletak di tangan anda,” katanya.