20 OKT : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.
“Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah akan turut diadakan serentak dengan PRU15,” katanya dalam sidang akhbar PRU15 di Menara SPR, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan mesyuarat khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa 10 Oktober lalu.