20 OKT : Seorang wanita tempatan yang pulang dari Dubai disahkan positif cacar monyet, sekali gus menjadikannya kes kedua dikesan di Vietnam, menurut Jabatan Kesihatan tempatan.
Wanita yang berasal dari wilayah utara Tuyen Quang itu berkunjung ke Dubai dari 29 September hingga 18 Oktober, mengalami simptom seperti demam, loya dan lepuh sejak 11 Oktober, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Wanita berusia 38 tahun itu dan pesakit kes pertama cacar monyet (kini dliaporkan telah sembuh) telah tinggal bersama ketika berada di Dubai.
Pusat Kawalan Penyakit Ho Chi Minh City (HCDC) dan pasukan perubatan Lapangan Terbang Tan Son Nhat bertindak mengasingkan wanita itu sejurus dia tiba di lapangan terbang.
Dia kemudiannya dibawa ke Hospital HCM City for Tropical Diseases bagi diagnosis dan menerima rawatan lanjut. Pesawat yang dinaiki turut dibasmi kuman.
HCDC memaklumkan pihaknya akan terus mengesan individu mempunyai hubungan langsung dengan pesakit bagi meminimumkan risiko penularan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan global berhubung wabak cacar monyet selepas kadar jangkitan meningkat di seluruh dunia, dengan lebih 35,000 kes di 92 negara dan wilayah, serta 12 kematian direkodkan setakat 15 Ogos.