22 OKT : Bekas menteri kewangan, Rishi Sunak yang juga ahli politik Parti Konservatif semalam mencapai tahap ambang undian untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Britain.
Dalam masa sama, bekas Perdana Menteri, Boris Johnson juga dikhabarkan mengambil langkah berani untuk membuat penampilan semula.
Penny Mordaunt yang juga anggota Kabinet menjadi yang pertama mengisytiharkan pencalonannya secara rasmi, selepas parti pemerintah United Kingdom (UK) dipaksa menyertai pertandingan kepimpinan kedua berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Liz Truss secara dramatik.
Anggota Kabinet dan dalam kalangan Ahli Parlimen mengisytihar sokongan kepada Sunak selepas Truss mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri
“Satu penghormatan untuk menjadi Ahli Parlimen Tory ke-100 menyokong #Ready4Rishi,” kata seorang penyokong, Tobias Ellwood menerusi hantarannya di Twitter.
Sunak secara automatik menjadi ketua parti dan perdana menteri jika seterunya gagal memenangi 100 pencalonan daripada barisan Ahli Parlimen Parti Tory.
Menteri Keselamatan, Tom Tugendhat, yang ‘mencalonkan’ diri sebagai ketua selepas Johnson digulingkan Julai lalu, tidak menyokong supaya bekas perdana menteri yang terpalit skandal tidak menyertai ‘perlumbaan’.
“Ini bukan masa untuk permainan politik, untuk markah atau untuk melihat ke belakang,” kata Tugendhat yang menyokong Sunak.
Sama ada Sunak ataupun Johnson, kedua-dua individu belum mengisytihar kepada umum akan merebut jawatan perdana menteri.
Johnson dikatakan memendekkan percutian di kepulauan Caribbean hanya untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu.
Isnin depan bakal menyaksikan Ahli Parlimen Parti Tory akan mengadakan undian sebelum kemungkinan berlangsung undian dalam talian untuk anggota parti.
Salah seorang sekutu rapat Johnson di Parlimen, James Duddrigde, berkata beliau ada berhubung dengan bos lamanya melalui WhatsApp.
“Dia ada berkata… kami akan melakukan ini. Saya bersedia untuk itu,” katanya ketika seorang wartawan Sky New menyiarkan gambar Johnson dalam penerbangan pulang dari Republik Dominica.
Berdasarkan undian dijalankan di laman web Guido Fawkes, sokongan Ahli Parlimen Tory terhadap Sunak memperoleh 103, Johnson (68) dan Mourdaunt (25) setakat semalam.