22 OKT : Kejayaan menarik pelaburan RM20.56 bilion dab mengutip hasil mencecah RM1 bilion menjadi bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) di Pahang dalam memastikan pembangunan ekonomi berterusan pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu juga membuktikan kemampuan Kerajaan Pahang memelihara kemakmuran dan kesejahteraan rakyatnya termasuk kebajikan warga Keluarga Malaysia Bera.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Pahang kerana kali pertama berjaya mengutip hasil mencecah RM1 bilion dan menarik pelaburan berjumlah RM20.56 bilion seperti diumumkan kerajaan negeri dalam Belanjawan Pahang 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mahu rakyat Pahang terus memastikan kerajaan BN kekal diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ini kerana adalah penting mengekalkan mandat kerajaan negeri yang sama dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan semua pembangunan dapat dirancang dan diteruskan.
“Pada PRU15 nanti, Pahang juga akan memilih kerajaan negeri, jika begini hebatnya Kerajaan Pahang, saya percaya kerajaan negeri sekarang akan terus memerintah Pahang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek PPR Bera bagi memenuhi keperluan tempat kediaman, untuk mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah.
“Projek PPR Bera satu manifestasi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang terjalin sejak sekian lama,” kata penyandang kerusi Parlimen Bera itu.
Menurutnya, projek PPR Bera membabitkan 1,000 rumah teres tiga bilik hanya berharga RM45,000 berbanding kos sebenar RM160,000.
Katanya, ini bermakna kerajaan menanggung subsidi rumah berkenaan sebanyak hampir RM120,000.
Dalam projek PPR yang tiap satu unit berkeluasan 750 kaki persegi itu, 100 unit dikhaskan kepada veteran tentera dan polis serta 10 unit kepada pembeli orang kurang upaya (OKU).
“Bagi memastikan rumah ini menepati sasaran golongan sepatutnya iaitu golongan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah, saya mahu kerajaan negeri mengguna pakai polisi PPR Kerajaan Pusat iaitu rumah tidak boleh disewa atau dijual semula dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Sementara itu, Reezal Merican dalam ucapannya berkata, Pahang negeri yang memiliki bilangan projek PPR tertinggi di Semenanjung iaitu 31 projek, yang menyumbang kepada lebih 4,000 unit rumah.
Katanya, ia termasuk tiga projek PPR di Pahang yang dalam pembinaan iaitu PPR Tahan, Jerantut (100 unit), Rumah Malaysia (disewa) di Lanchang (350 unit) dan PPR Beserah Chendor sebanyak 100 unit.
“Pada Bajet 2023 yang dibentangkan awal bulan ini, kerajaan meneruskan agenda membela rakyat dengan menyediakan peruntukan RM367 juta untuk membina lebih banyak PPR kepada rakyat,” katanya.